Minggu lepas saya dikunjungi oleh Saudara Muhammed Ali “Aerosol Arabic” dari UK, seorang artis graffiti yang begitu dikenali di sana . Beliau ke Malaysia atas jemputan Kumpulan Young Muslim Project bagi tujuan mengadakan demo melukis graffiti di sini dengan menggunakan huruf-huruf Arab dan memberi syarahan berkaitan seni berkenaan dibeberapa tempat.
Sebelum memulakan demo, beliau datang berjumpa saya untuk mendapatkan beberapa design tulisan khat yang ditulis menggunakan huruf-huruf Arab dalam bahasa Melayu. Ada beberapa design yang sempat saya tulis dan yang dipilih untuk demonya di Universiti Multimedia ialah perkataan Kebenaran dan Haq.
Boleh kunjungi website ini : http://www.junkonline.net/articles/1938-Graffiti-artist-Mohammed-Ali-spreads-some-truth
Kouichi Fuad Honda merupakan seorang penulis khat dari Negara Jepun, telah datang ke Malaysia pada 22-24 November 2008 yang lalu sempena program IAS-AEI International Conference NEW HORIZON IN ISLAMIC AREA STUDIES: ISLAMIC SCHOLARSHIP ACROSS CULTURE AND CONTINENTS, yang dianjurkan bersama oleh Universiti Malaya, NIHU Programe Islamic Area Studies (Japan), Asia-Europe Institute.
Beliau juga mengadakan pameran seni khat bertempat di Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam Selangor bermula dari 22.11.2008. Pameran ini akan diadakan selama tiga bulan. Diharap kepada peminat-peminat seni khat tanah air tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pameran ini. Selain dari Kouichi Fuad Honda, terdapat juga pameran daripada seorang tokoh Islam Indonesia, Bapak Mahmud Buchari dan karya-karya terbaru Yayasan Restu sendiri. Ketika di sini Professor Kouichi Fuad Honda sempat berkongsi ilmunya dalam seni khat menerusi syarahan yang bertajuk ‘Aesthetic Or Philosophical Meaning Of The Lines Of Arabic Calligraphy’ dan mengadakan demontrasi menulis khat.
Di dalam agama Islam, seni tidak bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian yang sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengamalkan seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan batas-batas syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya seorang Muslim itu jika tidak tahu bagaimana untuk menghadirkan kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam berperanan sebagai medium yang amat berkesan untuk berdakwah, membentuk seseorang itu menjadi seorang yang benar-benar baik dan beradab.
Konsep seni Islam dan pengamalannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Allah swt. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara ma’ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.
Seni di dalam Islam berperanan menanam rasa khusyu’ kepada Allah swt yang sukakan kepada keindahan, di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhlukNya yang diciptakan dengan fitrah yang suka kepada sesuatu yang indah. Oleh sebab itu seni dalam Islam tidak berslogan ’seni untuk seni’ tetapi ’seni kerana Allah untuk manfaat manusia, makhluk dan alam sekitar’. Kesenian Islam terpancar daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah swt, maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat ketaqwaan dan beriman. Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan bukan hanya sekadar emosi sahaja.
Penulisan khat thuluth atau thuluth jali perlu dilengkapkan dengan tanda-tanda bacaan atau baris walau apapun bahasa yang ditulis, samada Arab, Melayu, Turki dan sebagainya. Setelah itu, ruang-ruang kosong akan dipenuhkan pula dengan tazyin iaitu simbol-simbol khas yang diletakkan di atas atau di bawah huruf. Ini menyebabkan khat thuluth atau thuluth jali kaya dengan tanda-tanda dan simbol-simbol seperti yang dilihat pada hari ini.
Cara dan tradisi yang diikuti sejak dahulu ketika menulis khat thuluth ialah tidak boleh ditinggalkan ruang kosong pada sesuatu susunan (tarkib) tetapi mesti dipenuhi dengan : 1) Huruf. 2) Baris atau tanda bacaan. 3) Tazyin yang bersesuaian. Pena untuk baris (qalam harakat) ialah 1/2 daripada saiz pena huruf, manakala untuk tazyin penanya bersaiz 1/3 daripada ukuran pena huruf. Pada sesetengah tempat pena huruf digunakan untuk menulis harakat terutama digunakan untuk sukun, dammah dan baris fathah yang ditarik panjang bagi memenuhi ruang kosong. Begitu juga pena baris boleh digunakan untuk membuat tazyin pada tempat-tempat tertentu. Pengaturan ini bergantung kepada kreativiti penulis khat itu sendiri.
Khat thuluth seperti juga khat-khat yang lain, diukur dengan keluasan titik saiz pena. Jika saiznya besar maka besarlah huruf yang ditulis begitu juga jika kecil, saiz huruf juga akan mengecil. Sebagai contoh, sekiranya kita menggunakan pena bersaiz 1 mm, maka saiz hurufnya bersesuaian 1 mm dan seterusnya. Penggarisan saiz huruf dan panjang garis tegaknya diukur dengan menghitung titik. Kadangkala ahli khat tidak terlalu berpegang dengan ukuran ini, tetapi penulisannya tidaklah menyimpang terlalu jauh daripada kaedah asal. Jika apa yang dilakukan oleh ahli khat itu menyimpang jauh daripada ukuran ini, bererti rosaklah kesejajaran umum yang menjadi punca kesempurnaan khat sepanjang zaman.
Mohor atau dikenali juga sebagai meterai, tera dan cap merupakan perkara penting di dalam sesuatu warkah. Ia merupakan sunnah Rasulullah s.a.w. sebagaimana yang dilihat pada warkah baginda s.a.w kepada Maharaja Rom, Farsi, dan Mesir.
Sejak Tanah Melayu menerima agama Islam kira – kira abad ke- 13/14 Masihi, pengaruh Tulisan Jawi banyak mewarnai kehidupan 0rang Melayu. Pengaruh dan peranan Tulisan Jawi terdapat dalam pelbagai aspek kehidupan, antaranya hubungan sosial seperti surat – menyurat antara raja dengan raja yang sebangsa dan seagama dan sebagainya. Tulisan Jawi juga bagi tujuan seni disamping untuk mendapat berkat. Potongan – potongan ayat suci Al Quran ditulis indah, begitu juga duit pitis, cap mohor, barangan tembaga, tembikar dan lain – lain
Inilah hadiah kepada bangsa tercinta. Telah lebih seribu tahun menjadi tradisi, kini muncul kembali dengan gaya dan wajah baru. Cap mohor ini diangkat kembali oleh Yayasan Restu, menjadi budaya agung yang mekar mewangi. Bersama harapan dan doa agar tradisi bangsa akan terus berkesinambungan.
Spesifikasi Istimewa:
Harga :
1. Premium Package RM500.00
Holder cop diperbuat daripada besi
Tombol cop daripada perak yang berukir
Kotak khas
Sijil perakuan ketulinan
Preink stamp
2. Standard Package RM80.00
Holder plastic
Sijil perakuan ketulinan
Preink stamp
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi :
Bahagian Kaligrafi, Yayasan Restu, Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Persiaran Damai, Seksyen 10, 40000 Shah Alam, Selangor. Tel : 03-55119001/ 9002/ 9003
Pembinaan Al-Quran Mushaf Malaysia adalah usaha pertama rakyat Malaysia untuk negara dalam mambantu dunia menghidupkan kembali seni mushaf yang telah menghilang sejak 500 tahun yang lampau. Usaha ini telah membuahkan hasil dengan pelancaran secara rasmi Penyalinan Al-Quran Mushaf Malaysia pada 17 Ramadhan 1417 bersamaan 26 Januari 1997 di Balai Pameran Islam, Pusat Islam Kuala Lumpur. Al Quran Mushaf Malaysia ialah manuskrip Al-Quran beriluminasi (berhias) dan berwarna penuh. Ia dihasilkan dari salinan tangan empat orang Khattat (penulis khat) tempatan dengan mengunakan batang handam atau resam (sejenis pokok paku pakis). Ia mengandungi 30 Juz dengan mengaplikasikan motif dan rekabentuk seni tampak Melayu bercirikan kebudayaan Islam seluruh negeri di Malaysia. Usaha pembinaan Al-Quran Mushaf Malaysia mengambil masa lima tahun, termasuk kajian dan pembangunan (R&D). Al-Hamdulillah, kini Malaysia mempunyai mushaf Al-Quran sendiri melalui penerbitan Al-Quran Mushaf Malaysia – Taba’ah Ma’arij Al-Jamal pada bulan Mac 2000 dan kini ia telah pun beberapa kali diulang cetak untuk edaran dalam dan luar negara dengan nafkhah (harga) RM 50.00 sahaja.
Anda boleh mendapatkan Al Quran Mushaf Malaysia di kedai – kedai buku atau Pejabat Pos yang berdekatan atau datang sendiri ke :-
Yayasan Restu
Kompleks Taman Seni Islam Selangor,
No 2A, Persiaran Damai, Seksyen 10,
40100, Shah Alam,
Selangor, Malaysia.
Tel : 03 – 5511 9001/9002/9003
Fax: 03 – 5512 3788/3780
Website: http://www.mushaf.com.my Email: info@mushaf.com.my
Contoh – contoh tulisan khat thuluth

Khat thuluth merupakan khat yang sangat indah. ketika menulis, kebiasaannya susunan dilakukan dengan melakar huruf dari atas ke bawah atau boleh juaga dari bawah ke atas, dimana ahli-ahli khat meletakkan huruf itu seolah-olah sedang menyusun batu-batu binaan. Biasanya struktur thuluth dilakukan dalam bentuk lurus, empat segi, bulat, bujur telur dan bentuk-bentuk lain berdasarkan kepada citarasa dan keperluan khusus seseorang jurukhat seperti bentuk bunga, daun, keris dan sebagainya. Apa yang dilakukan ini bukanlah bertujuan memuaskan minat jurukhat dalam seni lukis akan tetapi ia sebagai satu percubaan untuk mencari bentuk baru dan struktur yang berbagai-bagai. Ungkapan keyript thuluth iaitu thuluth bercampur-baur yang dilakukan oleh jurukhat adalah bertujuan untuk menonjolkan keindahan seninya dan ketika itu, mereka sentiasa mengawasi lafaz jalalah (Allah) agar tidak berada distruktur bahagian bawah
Kompleks Taman Seni Islam Selangor Kompleks Taman Seni Islam Selangor adalah anugerah daripada Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan kepada Yayasan Restu. Ianya adalah sebagai tanda pengiktirafan terhadap segala usaha yang telah dilaksanakan selama ini. Pembinaan Kompleks Taman Seni Islam Selangor ini berfalsafahkan pusat penawar inspirasi kehidupan yang mendasari konsep sarang lebah (Surah An Nahl) ini semakin hari semakin menggamit ribuan pengunjung. Ramai yang tertarik dengan pendekatan pengajaran melalui pengalaman di samping berpeluang melihat sendiri pelbagai usaha seni yang dihasilkan. Terdapat beberapa galeri di sini yang boleh dikunjungi, seperti Galeri Al Quran Mushaf Malaysia, Galeri Nur Fatimah, Galeri As Sakinah, Galeri Cenderahati, Bahagian Penyalinan Mushaf Al Quran, Design, Grafik, Pewarnaan, Penerapan Emas dan lain – lain lagi. Keistimewaanya telah menjadi satu tarikan utama pengunjung di Bandaraya Shah Alam ketika ini. Inilah satu-satunya kompleks seni islam seumpamanya di dunia hasil perkenan DYMM Tuanku Sultan Selangor dan keprihatinan YAB Dato’ Menteri Besar serta kerajaan Negeri Selangor. Dan Kompleks Taman Seni Islam Selangor akan terus menabur manfaat kepada masyarakat, mengembangkan seni islam, menghidupkan kembali tradisi penyalinan mushaf, menonjolkan keindahan sebagai satu uslub berdakwah agar kesannya dapat diterima oleh pelbagai golongan. .
Lawatan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Kompleks Taman Seni Islam Selangor.
Yayasan Restu
Setelah hampir sedekad yang lalu, Yayasan restu kini terus menaburkan bakti usaha dalam pemasyhuran seni Islam di rantau ini. Kehadirannya sebagai sebuah organisasi yang tidak berorientasikan keuntungan, telah meletakkan asas pemikiran dan tahap penghasilan seni Islam yang tingi dalam usaha membina tamadun bangsa yang gilang gemilang. Berbekalkan semangat untuk menyelusuri hakikat tauhid, khazanah warisan Melayu digali akar makna dan kehalusan seninya, lantas dijulang sebagai wadah seni yang bertaraf antarabangsa.
Visi dan misi yang direncanakan hanyalah untuk pemasyhuran seni Islam di persada dunia. Berpegang teguh kepada kesatuan pelbagai ilmu dan kemahiran, beberapa usaha penyelidikan dan pembangunan (R & D) telahpun membuahkan hasil yang manfaatnya dapat dirasai oleh segenap lapisan masyarakat. Kini, Yayasan Restu dikenali sebagai pusat pembinaan mushaf al-Quran dan hadis, pusat seni khat, pusat seni reka motif budaya bangsa, pusat ICT al-Quran, Hadis dan Seni Islam, pusat pendidikan seni Islam, pusat pembangunan produk cenderhati seni Islam dan pusat rekabentuk seni bina dan hiasan dalaman.
Yayasan Restu beroperasi di :-
Kompleks Taman Seni Islam Selangor,
No 2A, Persiaran Damai, Seksyen 10,
40100, Shah Alam,
Selangor, MALAYSIA
Tel : 03 – 5511 9001/9002/9003
Fax: 03 – 5512 3788/3780
website : http://www.mushaf.com.my
Doa Penerang Hati-Khat Farisi
Surah Al-Kauthar-Khat Farisi
Khat Farisi dicipta oleh Mir Ali al- Tibrazi dan kemudianya diperindahkan oleh Imaduddin al- Syirazi. Ia digunakan dengan meluas oleh masyarakat Iran yang diketahui sejak dahulu amat berminat dengan kesenian yang merupakan warisan turun temurun datuk nenek mereka. Mereka begitu mahir dan cekap dari segi penggunaannya sehingga menjadikan tulisan tulisan khat ini sebagai tulisan yang mempunyai ciri – ciri tersendiri pada orang Iran dan terkenal sehingga kehari ini dengan nama khat farisi (iaitu nisbah kepada bangsa Iran sendiri). Khat ini mempunyai bentuk yang cantik, hurufnya sangat menarik, tidak berbaris, tidak tersusun, sama seperti bentuk Riqa’ah. Keindahan khat Farisi terletak pada bentuk lengkungnya yang menarik, kurang garis menegak dan bentuk hurufnya yang condong ke kanan dan memanjang. Khat ini juga dikenali dengan khat Nasta’liq (iaitu gabungan antara Nasakh dan Ta’liq).
Bentuk khat ini diperkenalkan oleh Qutbah al-Muharrir pada zaman al – Umawi yang pada mulanya ia dinamakan ‘Jalil Thuluth’. Ia telah diubahsuaikan oleh penulis–penulis seni khat dan diperbaiki sehingga mencapai puncak keindahannya oleh Yaqut al- Musta’simi.Bentuknya seakan – akan khat thuluth tetapi saiz hurufnya lebih besar sedikit dan bersifat lepas dan tidak membulat pada huruf – huruf tertentu (seperti ra, wau, mim, ya dan lain – lain lagi). Kini bentuknya yang lebih besar dikenali sebagai ‘al- Muhaqqaq’ manakala yang lebih kecil ialah ‘al- Raihani’.
Ia adalah daripada jenis khat kufi. Bentuk hurufnya terdiri daripada susunan bentuk segi empat dan garis lurus. Kaedah susunannya adalah susunan yang bersifat memenuhi ruang. Khat ini banyak digunakan sehingga kini sebagai hiasan dalam bentuk geometric pada bangunan – banguna seperti masjid, surau dan lain – lain lagi.
Dinamakan khat ini sebagai Khat Nasakh kerana tulisannya digunakan untuk menaskhahkan atau membukukan al-Qur’an serta pelbagai naskhah ilmiah yang lain sejak dari kurun pertama Hijrah lagi. Ia terus menjadi tulisan utama bahan-bahan ilmiah hingga ke hari ini samada di dalam akhbar, majalah, komputer dan sebagainya selain terus menjadi tulisan utama al-Qur’an.
Ada juga pendapat yang menjelaskan punca khat ini dinamakan sebagai Khat Nasakh ialah kerana peranannya menasakhkan yang beerti menghapuskan atau menggantikan penggunaan khat Kufi dalam penulisan wahyu Allah iaitu al-Qur’an. Setelah kemunculan khat Nasakh, khat Kufi tidak lagi digunakan untuk menulis al-Qur’an tetapi tempatnya telah diambil alih oleh Khat Nasakh. Khat Nasakh dikatakan sebagai seni yang berasal dan berkembang dari tulisan Arab asli. Ia bermula dari asal Khat Arami, Nabati, kemudian dikenali sebagai Khat Hijazi. Tulisan ini melalui proses pembaikannya dalam beberapa peringkat. Pada kurun ketiga dan keempat Hijrah, seorang menteri dari kerajaan Abbasiah iaitu Ali bin Muqlah atau lebih dikenali dengan Ibnu Muqlah bersama saudaranya Abdullah, telah memperhaluskan tulisan ini dan mencipta satu kaedah yang dikenali kini sebagai Kaedah Penulisan Khat Nasakh. Ia menjadi terkenal terutamanya pada kurun kelima. Khat ini terus diminati dan mula dipelajari secara meluas. Semasa pemerintahan Atabikah khat ini seterusnya melalui satu proses yang dikatakan sebagai proses pengindahan menyeluruh. Lantaran itu ada yang menggelar khat ini sebagai ‘Khat Nasakh Atabik’. Khat ini pada dasarnya lebih mudah daripada khat thuluth dan senang diajarkan kepada orang ramai, pelajar sekolah dan kanak – kanak sebagai asas untuk menulis khat atau jawi. Penggunaannya amat meluas sekali sehingga mesin menaip, komputer dan mesin cetak kebanyakannya menggunakan fon jenis Khat Nasakh. Ia sering digunakan dalam penulisan disebabkan sifatnya yang cantik dan mudah dibaca. Maka oleh sebab itulah Khat Nasakh amat praktikal digunakan untuk penyalinan mushaf al Quran, kitab-kitab, hadith, majalah, akhbar dan lain – lain lagi . Pada kebiasaannya Khat Nasakh ditulis dengan saiz yang kecil dan tidak terlalu besar dengan kadar 1mm saiz pena.
Riq’ah menurut Kamus Bahasa ialah cebisan kertas yang ditulis. Khat ini mempunyai ciri – cirinya yang tesendiri seperti bentuk hurufnya yang tegak dan kecil, kebanyakan huruf-hurufnya ditulis di atas garisan, boleh ditulis dengan cepat dan mempunyai sedikit sahaja kaedah, penulisannya agak mudah jika dibandingkan dengan khat Nasakh. Ia dicipta oleh penulis khat Turki, Mumtaz Bek pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Khan (1280H). Khat ini adalah gabungan di antara ‘al- Diwani’ dan ‘Siyaqat’.