Khat thuluth adalah khat yang paling susah untuk dikuasai. Ia mempunyai banyak kaedah penulisan yang sangat detail dan halus yang harus dikuasai oleh seorang penulis khat dengan tepat. Tambahan pula, susunan untuk sesuatu perkataan dan cara menulisnya boleh dipelbagaikan agar sesuai dengan ruang dan karya yang dibuat. Dan kepelbagaian susunan itu pula mempunyai kaedahnya tersendiri yang mesti diikuti
Sebagai sambungan post sebelum ini, kita akan melihat pula perubahan-perubahan yang boleh dibuat untuk perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth. Berdasarkan perkiraan saya, untuk perkatan ini sahaja kita boleh tulis dalam bermacam cara dan gaya dengan bilangannya hampir mencecah dua puluh bentuk. Di sini saya kemukakan sebahagian daripadanya.
Di dalam Khat thuluth terdapat banyak kaedah penulisan yang sangat detail. Sedikit perbezaan, menyebabkan kita salah atau betul dengan kaedahnya. Di sini saya cuba kemukakan dua bentuk tulisan sebagai pendedahan kepada rakan-rakan untuk kita kongsi bersama dan dijadikan panduan. Cuba anda berikan jawapan diantara (A) dan (B), mana yang betul, mana yang salah dan kenapa..?
Terima kasih kepada anda yang telah memberi respon pada persoalan di atas. Sebenarnya perkara ini adalah diantara beberapa kesalahan tulisan yang saya temui ketika menghakimi pertandingan-pertandingan seni khat, termasuk juga Pertandingan Seni Khat Marhaban di Astro baru-baru ini. Banyak lagi masalah-masalah yang lain. Tapi kali ini saya cuba ketengahkan kaedah penulisan (bainahum) ini dahulu. Sebabnya, bagi saya ia cukup halus dan terperinci dari segi kaedahnya. Sepintas lalu, seolah-olah tiada beza.. Tetapi sebenarnya ternyata ada perbezaan yang jelas dan merumitkan. Dengan perubahan yang sedikit, ia akan membuatkan satu huruf menjadi tiga huruf.
Dan jawapannya, diantara (A) dan (B), maka pilihan yang tepat untuk kalimah ‘BAINAHUM’ adalah (A), kerana bentuk huruf yang pertama dan kedua adalah bentuk huruf BA dan YA. Manakala bagi (B) pula, gigi awal dan keduanya adalah gigi huruf SIN. Sekarang cuba kita perhatikan secara detail, diantara dua bentuk ini sebenarnya dipisahkan oleh pergerakan yang sangat halus. Perbezaannya hanyalah pada permulaan diantara ’sin’ dan ‘ba’. Ketika menarik kebawah, Sin harus lebih pendek dan halus manakala ba lebih besar sedikit. Kemudian di penghujung gigi yang pertama. Kedua-duanya ada sedikit perbezaan ketika menolak naik. Seterusnya pada permulaan gigi yang kedua, pergerakan ketika melengkung turun juga berbeza dan lebar ba seluas dua titik dan sin hanya satu setengah titik.
Penulisan perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth, sebenarnya boleh dipelbagaikan. Pada pengamatan saya, kepelbagaian bentuknya yang boleh dibuat hampir mencecah bua puluh bentuk. Insya Allah saya akan terangkan pada entry yang akan datang. Semoga dengan penjelasan yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada semua…
………………….
Video ini dirakam oleh sahabat saya: Brother Yusuf Kaloma, student Kolej Restu dari Nigeria.
Sedikit keterangan tentang Basmalah Muhaqqaq ini. Ia ada sedikit perbezaan dengan khat thuluth terutama pada huruf mim, ra, nun dan lafaz Allah. Mim dan ra menggunakan huruf mursalah, iaitu mim atau ra yang ekornya terus ditarik kebawah sebelah kanan. Huruf nun pada Ar-Rahman dilebarkan sedikit berbanding ra thuluth, manakala huruf ha pada lafaz Allah menggunakan ha simpul. Selamat mencuba…!
Dan apabila mereka melihat perniagaan atau mendengar sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) ke arahnya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar ketika berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad): “Pahala (balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik daripada hiburan dan perniagaan itu.” Allah sebaik-baik Pemberi rezeki.
Khat riq’ah berkembang daripada khat nasakh dan thuluth tetapi perkembangannya dalam bentuk yang agak berlainan daripada keduanya, Ia lebih mudah. Biasanya ditulis dengan saiz yang kecil. Bentuk alifnya pendek dan tiada kepala (Tarwisah) seperti thuluth.
Khat riq’ah merupakan salah satu khat yang begitu digemari oleh penulis khat ketika zaman Othmaniah dan melalui banyak penambahbaikan oleh Shaikh Hamdullah al-Amasi. Kemudian selepas itu berlaku lagi beberapa perubahan oleh penulis khat lain sehinggalah ia menjadi popular, digemari dan paling banyak digunakan. Di hari ini, riq’ah adalah pilihan tulisan tangan oleh Masyarakat arab
Alhamdulillah.. Hari ini kami telah selesai mengadakan Pertandingan Seni Khat Terbuka sempena sambutan Maulid Rasul peringkat Negeri Melaka, Tahun 1429H yang telah dianjurkan oleh Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Kebangsaan dan Yayasan Restu. Pertandingan ini telah diadakan di Galeri Ketua Menteri Melaka di Peringgit. Seramai lebih 50 orang telah hadir bagi memeriahkan pertandingan pada kali ini. Pada pandangan saya kualiti keseluruhan tulisan para peserta sangat baik dan saingan juga sengit. Khat yang dipertandingkan adalah khat thuluth. Biasalah..Adat pertandingan, ada yang menang, ada yang kalah. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada yang menang dan saya nak ucapkan tahniah juga kepada yang kurang bernasib baik kerana telah berusaha dengan penuh semangat bagi memartabatkan seni khat. Sanggup datang dari jauh dan dekat semata-mata untuk memeriahkan pertandingan. Sudah tentu anda mendapat pengalaman yang sangat berharga di pertandingan ini. Pemenang pertandingan ialah: 1) Ustaz Hilyas (Terengganu), 2) Muhammad Zulfikri (Kedah), 3) Muhammad Ilham (Kelantan).
Inilah beberapa gambar suasana pertandingan dan pameran yang sempat diambil
Di dalam agama Islam, seni tidak bermatlamatkan hiburan, tujuan keduniaan ataupun keseronokan. Islam telah menggariskan kesenian yang sesuai mengikut naluri dan fitrah semulajadi manusia. Sewajarnyalah juga manusia mengamalkan seni mengikut fitrah manusia yang sedia ada berbekalkan batas-batas syariah demi kesejahteraan jiwa dan dunia manusia. Bahkan sekiranya betul pembawaan seni itu, ia dikira ibadah pula. Alangkah ruginya seorang Muslim itu jika tidak tahu bagaimana untuk menghadirkan kecenderungan makhluk sejenisnya ke arah ketaqwaan kepada Allah swt. Seni Islam berperanan sebagai medium yang amat berkesan untuk berdakwah, membentuk seseorang itu menjadi seorang yang benar-benar baik dan beradab.
Konsep seni Islam dan pengamalannya haruslah menjurus ke arah konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Allah swt. Berseni haruslah bermatlamatkan kepada perkara-perkara ma’ruf (kebaikan), halal dan berakhlak. Jiwa seni mestilah ditundukkan kepada fitrah asal kejadian manusia kerana kebebasan jiwa dalam membentuk seni adalah menurut kesucian fitrahnya yang dikurniakan Allah swt. Fungsi seni tidak kurang sama dengan akal supaya manusia menyedari perkaitan antara alam, ketuhanan dan rohani atau dengan alam fizikal. Lantas ia menyedari keagungan Tuhan dan keunikan penciptaanNya.
Seni di dalam Islam berperanan menanam rasa khusyu’ kepada Allah swt yang sukakan kepada keindahan, di samping memberi ketenangan di jiwa manusia sebagai makhlukNya yang diciptakan dengan fitrah yang suka kepada sesuatu yang indah. Oleh sebab itu seni dalam Islam tidak berslogan ’seni untuk seni’ tetapi ’seni kerana Allah untuk manfaat manusia, makhluk dan alam sekitar’. Kesenian Islam terpancar daripada tauhid yang merupakan satu penerimaan dan penyaksian terhadap keesaan Allah swt, maka seni yang berpaksikan tauhid dapat menanamkan sifat ketaqwaan dan beriman. Seni juga dapat meningkatkan daya intelek dan bukan hanya sekadar emosi sahaja.
Surah Al Fatihah ditulis pada batu sungai dengan menggunakan ‘khat kufi mushafi’. Batu ini terdapat di Galeri Nur Fatimah , Kompleks Tmn Seni Islam Selangor, Shah Alam. Silalah berkunjung…!
Surah As Syarh pada batu. Ukuran 30cm x 25cm.
Surah Yasin lengkap ditulis dengan tulisan Khat Nasakh halus pada batu yang berukuran 28cm x 18cm