Latihan Khat Thuluth
Khat thuluth adalah khat yang paling susah untuk dikuasai. Ia mempunyai banyak kaedah penulisan yang sangat detail dan halus yang harus dikuasai oleh seorang penulis khat dengan tepat. Tambahan pula, susunan untuk sesuatu perkataan dan cara menulisnya boleh dipelbagaikan agar sesuai dengan ruang dan karya yang dibuat. Dan kepelbagaian susunan itu pula mempunyai kaedahnya tersendiri yang mesti diikuti
Sebagai sambungan post sebelum ini, kita akan melihat pula perubahan-perubahan yang boleh dibuat untuk perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth. Berdasarkan perkiraan saya, untuk perkatan ini sahaja kita boleh tulis dalam bermacam cara dan gaya dengan bilangannya hampir mencecah dua puluh bentuk. Di sini saya kemukakan sebahagian daripadanya.
Di dalam Khat thuluth terdapat banyak kaedah penulisan yang sangat detail. Sedikit perbezaan, menyebabkan kita salah atau betul dengan kaedahnya. Di sini saya cuba kemukakan dua bentuk tulisan sebagai pendedahan kepada rakan-rakan untuk kita kongsi bersama dan dijadikan panduan. Cuba anda berikan jawapan diantara (A) dan (B), mana yang betul, mana yang salah dan kenapa..?
Terima kasih kepada anda yang telah memberi respon pada persoalan di atas. Sebenarnya perkara ini adalah diantara beberapa kesalahan tulisan yang saya temui ketika menghakimi pertandingan-pertandingan seni khat, termasuk juga Pertandingan Seni Khat Marhaban di Astro baru-baru ini. Banyak lagi masalah-masalah yang lain. Tapi kali ini saya cuba ketengahkan kaedah penulisan (bainahum) ini dahulu. Sebabnya, bagi saya ia cukup halus dan terperinci dari segi kaedahnya. Sepintas lalu, seolah-olah tiada beza.. Tetapi sebenarnya ternyata ada perbezaan yang jelas dan merumitkan. Dengan perubahan yang sedikit, ia akan membuatkan satu huruf menjadi tiga huruf.
Dan jawapannya, diantara (A) dan (B), maka pilihan yang tepat untuk kalimah ‘BAINAHUM’ adalah (A), kerana bentuk huruf yang pertama dan kedua adalah bentuk huruf BA dan YA. Manakala bagi (B) pula, gigi awal dan keduanya adalah gigi huruf SIN. Sekarang cuba kita perhatikan secara detail, diantara dua bentuk ini sebenarnya dipisahkan oleh pergerakan yang sangat halus. Perbezaannya hanyalah pada permulaan diantara ’sin’ dan ‘ba’. Ketika menarik kebawah, Sin harus lebih pendek dan halus manakala ba lebih besar sedikit. Kemudian di penghujung gigi yang pertama. Kedua-duanya ada sedikit perbezaan ketika menolak naik. Seterusnya pada permulaan gigi yang kedua, pergerakan ketika melengkung turun juga berbeza dan lebar ba seluas dua titik dan sin hanya satu setengah titik.
Penulisan perkataan BAINAHUM di dalam khat thuluth, sebenarnya boleh dipelbagaikan. Pada pengamatan saya, kepelbagaian bentuknya yang boleh dibuat hampir mencecah bua puluh bentuk. Insya Allah saya akan terangkan pada entry yang akan datang. Semoga dengan penjelasan yang sedikit ini dapat memberi manfaat kepada semua…
………………….
Khat Thuluth
Surah Al-Baqarah : 117-118
Maksudnya: Allah jualah Pencipta langit dan bumi (dengan segala keindahannya tanpa meniru pada contoh yang lain). Apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: “Jadilah engkau.” Lalu menjadilah ia.
(Orang kafir Makkah) yang tidak berilmu pengetahuan, berkata, “Alangkah eloknya kalau Allah berkata-kata dengan kami (mengenai kebenaran Muhammad) atau datang kepada kami sesuatu keterangan (mu’jizat)?” Demikian pula orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka pernah berkata seperti yang dikatakan oleh mereka. Hati mereka (sekeliannya) adalah sama (dalam kedegilan dan kekufuran). Sesungguhnya Kami telahpun menerangkan ayat-ayat keterangan (yang menjadi dalil dan bukti) kepada kaum yang mahu percaya dengan yakin.
Minggu lepas, saya dan beberapa rakan di Yayasan Restu telah ditugaskan untuk membuat pameran Kesenian Islam dan Demontrasi Seni Khat di Perkampungan Hadhari Melaka. Kami berada di sana selama 3 hari (1 – 3/3/2008). Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan lancar. Pada hari ahad (2/3/2008) merupakan hari perasmian program dan kemuncak acara. Agak ramai juga pengunjung yang datang ke booth kami yang mempamerkan pelbagai lembaran seni mushaf, seni khat, hiasan dalaman, cop mohor, cenderahati dan demontrasi menulis khat. Ada yang membeli cenderahati untuk anak-anak dan orang tersayang dan ada yang mengambil kesempatan menulis nama dalam seni khat untuk kenang-kenangan dan sebagainya. Orang Melaka sememangnya baik dan ramah. Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama dari semua pihak. Terima kasih diucapkan kepada penganjur iaitu Kerajaan Negeri Melaka, Perbadanan Melaka Holding (PMH). Terima kasih juga kepada Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang banyak menolong kami dari awal hingga akhir.
Sebagai pengumuman kepada orang-orang Melaka, kami akan kembali lagi..! Yayasan Restu dengan kerjasama PERZIM, Persatuan Seni Khat Kebangsaan (PSKK) dan Perpustakaan Negara akan mengadakan Pameran Seni Khat selama satu bulan di Muzium al-Quran Melaka (sebelah Masjid al-Azim) pada 17 Mac 2008 – 20 April 2008. Jemputlah datang beramai-ramai ke pameran tersebut.